Sunday, October 11, 2009

Keruntuhan Akhlak-Krisis yang mencemaskan

Keruntuhan Akhlak – Krisis yang mencemaskan.

Oleh Mohamad Noor Shafie

BERSIRI

Bahagian 1 Fokus dalam keluarga.

Cakap ajuk yang kita bualkan lantaran mengeluh akibat akhlak para remaja dan umat Islam hari ini yang sudah runtuh moralnya sering terdengar seperti ini, “kau tengoklah akhlak mereka, dah rosak betul. Apa nak jadi kalau sepuluh tahun akan datang....?”.

Di negara kita hari ini, di mana-mana sahaja kita pergi kita akan melihat gelagat remaja/orang Melayu yang majoritinya Islam cukup keterlaluan dalam mempamerkan akhlak mereka. Di mana sahaja, kampung, desa pendalaman, pekan, pekan-pekan kecil, maupun bandar apatah lagi bandaraya besar seperti Kuala Lumpur, Johor Baharu, Ipoh, Penang dan merata lagi, keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat Islam amat ketara sekali. Ini hanya kita bicarakan di negara kita sendiri. Bagaimana kalau kita perluaskan skop ke negara jiran seperti Singapura dan Indonesia, maka keruntuhan akhlak para remaja/orang Islam tidak berkesudahan malah mungkin lebih dahsyat lagi. Bagaimanakah lagi dengan remaja di negara-negara Islam yang lain dan di seluruh pelusuk alam ini. Jawapannya sama iaitu “keruntuhan akhlak” para masyarakat Islam ini cukup kritikal dan gawat sekali. Persoalannya bagaimana kesudahannya?

Masalah akhlak umat Islam hari ini.

Sebelum kita membicarakan masalah keruntuhan akhlak umat Islam dengan lebih jauh maka mari kita renungkan antara keruntuhan akhlak yang dimaksudkan itu.

  1. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang tidak terbatas tanpa memiliki lagi sebarang perasaan malu.
  2. Terlalu berani mengadakan perhubungan jenis secara haram dan seks bebas sehingga tidak pernah rasa berdosa dan takut pada pembalasan selepas mati.
  3. Berkelakuan tidak senonoh antara lelaki dengan perempuan di kalayak ramai ataupun di tempat tersembunyi.
  4. Bersekedudukan lelaki dengan perempuan seumpama suami isteri tanpa melalui akad nikah yang sah.
  5. Sudah terlalu ramai orang Islam hari ini teramat berani dan tanpa ada perasaan ragu sanggup melahirkan anak luar nikah atau “anak haram”.
  6. Kaum wanita Islam yang berpakaian singkat dan mendedahkan bahagian tubuh badan dengan megah dan bangga tanpa segan silu.
  7. Kaum lelaki yang sudah terlalu gemar dan menjadikan cara hidup mempergunakan wanita untuk melepaskan nafsu haiwaniah nya.
  8. Budaya meminum alkohol atau arak sudah menjadi cara hidup sebahagian orang Islam yang tertentu di masa ini. Tidak ada perasaan takut malah merasa megah kerana berani minum apabila orang Islam lain melihatnya.
  9. Budaya ketagihan dadah dikalangan lelaki dan wanita Islam hari ini yang telah menjadikan dadah sebagai dunia baru mereka.
  10. Ketagihan kepada muzik yang mengkhayalkan secara berlebihan dan sanggup terkinja-kinja menari-nari sehingga hampir lupa kepada dunia nyata.
  11. Golongan remaja Islam yang melibatkan diri dalam kegiatan sumbang, menyalahi undang-undang, lumba haram, gengstar, perasugut, menjual maruah diri dan banyak lagi yang seiring dengannya.
  12. Anak-anak yang sudah tidak menghormati lagi kepada ibu-bapa, guru-guru, orang tua dan masyarakat marhaen.
  13. Golongan yang sudah tidak menghormati lagi terhadap budaya Melayu dan tradisi Islam yang diamalkan sejak dahulu.
  14. Terlalu sedikit umat Islam hari ini yang boleh membaca Al-Quran dan menghayati Islam sebaliknya sebahagian besar kita samada dewasa atau remaja atau kanak-kanak sudah tidak mengerti bacaan AlQuran dan melaksanakan perintah Allah.
  15. Berpuluh-puluh lagi senarai keruntuhan akhlak yang dapat saya senaraikan tetapi memadai yang di atas sahaja. Selebihnya saya harapkan para pembaca tambahkan sendiri.

Persoalan yang berligar apakah faktor yang menjadikan keruntuhan akhlak begitu serius hari ini? Bagaimana mengatasi masalah ini? Bagaimana supaya dapat mengembalikan masyarakat yang hanyut ini kepada jalan yang benar? Berjayakah kita dalam usaha mengajak masyarakat Islam kembali menghayati ajaran Islam sepenuhnya?

Tidak ambil berat soal agama.

Jawapan yang paling utama dan yang paling baik kepada persoalan dan permasahan yang dibentangkan di atas tadi ialah kerana kita umat Islam hari ini sudah tidak mengambil berat lagi terhadap soal-soal agama. Kita leka dengan masa yang dihabiskan untuk duniawi, mencari harta sebanyak mungkin, mencari wang untuk memenuhi poket, mengejar rezki secara berlebihan dan semua ini menjadikan kita mengabaikan tugas kita untuk agama bagi diri sendiri, agama untuk isteri, suami dan lebih-lebih lagi agama buat anak-anak yang menjadi amanah sebagai melahirkan mereka umat Islam sejati atau mukmin syadiqan.

Mari lihat dalam keluarga kita sendiri. Apakah anak-anak kita telah memahami Islam dengan sebaiknya? Apakah keluarga kita termasuk dalam golongan orang yang menunaikan tuntutan agama yang paling basic iaitu menunaikan sembahyang lima waktu? Anak-anak kita sudah dilatih berpuasa? Anak-anak kita boleh bersyahadah tauhid dan syahadah Rasul dengan lancar? Anak-anak kita sudah boleh membaca Al-Quran? Khatam Quran? Kalau jawabannya YA. Ada pertanyaannya lagi adakah kita ini adalah anak yang taat kepada kedua ibubapa? Kita tidak pernah melukai atau mengecilkan hati ibubapa kita? Begitu juga dengan anak-anak kita, adakah mereka anak yang taat, hormat dan kasih kepada kita atau anak-anak kita selalu sahaja engkar kepada nasihat arahan dari kita? Semuanya ini asas dan perdu segala pokok didikan yang akan menentukan arah tuju anak-anak dimasa hadapan.

Secara peribadi saya amat sedih dan menitiskan airmata apabila ada anak-anak remaja yang datang kepada saya yang mengakui dia tidak mengerti apa-apa berkenaan agama. Umur sudah belasan tahun tidak kira lelaki atau perempuan, apabila disuruh mencuba kalimah syahadah, langsung lafaz kalimah yang diucapkan itu tidak tepat segala sebutannya. Ditanya lagi kaedah bersuci, niat puasa, niat junub hanya dilafazkan dalam bahasa Melayu sahaja. Kenapa? Kerana katanya tak tahu dalam bahasa Arab sebab tak boleh membaca. Jadi apabila inilah jawaban yang diberikan maka tidak usah saya bertanya lagi soal-soal sembahyang kerana sudah pasti dia tidak dapat menghafal ayat-ayat sembahyang kerana tidak boleh membaca. Inilah sebabnya asuhan sehingga boleh membaca Quran itu adalah peringkat awal sebelum melangkah jauh mengenali dan mendalami agama dengan lebih mendalam. Bukan seorang remaja yang sedang membesar hari ini bernasib sepertinya malah jutaan remaja lagi yang menghadapi fenomena yang sama. Apakah nasib mereka di masa depan?

Yang paling kita khuatiri dan bimbangkan sekali ialah remaja-remaja ini apabila membesar tanpa ada asas Al-Quran, tanpa asas agama mudah hanyut terjebak dalam segala kemungkaran. Ini tidak termasuk apabila kita perhatikan betapa budaya memurtadkan umat Islam seperti menghasut menjadi kristian begitu rancak bergiat cergas. Cuba kita renungkan sejenak. Jika remaja yang ada asas agama pun masih boleh dipesongkan hidup mereka apatah lagi remaja yang membesar tanpa ada asas agama langsung. Asas seperti fardu ain, fardu kifayah, rukun iman, rukun Islam belum cukup bentengnya bagi menahan serangan godaan nafsu dan bisikan syaitan yang melakukan serangan bertubi-tubi. Hanya keimanan yang tinggi, taat sepenuhnya kepada ajaran agama, memahami Islam secara syumul dapat memperkukuhkan iman menjadi ketahanan kepada segala serangan.

Maka dapat saya katakan didikan agama yang kukuh adalah tunjang kepada membentuk akhlak seseorang Islam itu. Dalam apahal sekalipun didikan agama yang sempurna, menanamkan keimanan yang hakiki, semangat dan roh Islam tulin dalam jiwa raga adalah benteng yang paling kukuh untuk pertahankan roh dan jasad dari serangan luar yang cuba merosakan seseorang individu Islam. Maka kita sebagai ibubapa mari renungkan sejenak apakah anak-anak yang di dalam didikan kita sudah kita berikan segala asas dan keperluan agama. Jika belum atau anak-anak kita tidak memahami agama Islam yang dianuti ayah ibunya maka apakah jawaban kita kepada Allah swt apabila kita mengadapnya nanti.

Mengabaikan tanggung jawab.

Sebok, masa yang tidak mencukupi, kegiatan sosial yang berlebihan, kerja mencari rezki tanpa batasan selalunya menjadi alasan apabila ditanya hal masa yang diluangkan kepada anak-anak atau keluarga. Kalaulah ini alasan yang diberikan maka apakah bermakna sehari semalam 24 jam yang Allah swt peruntukan masih tidak mencukupi. Apakah Tuhan memberikan masa tidak seimbang untuk dunia ini atau kita sendiri yang mengabaikan masa? Jangan berikan alasan yang boleh menjuruskan kita meletakkan kesalahan kepada yang Maha Pencipta alam ini kerana setiap yang Dia anugerahkan di dunia ini adalah yang terbaik untuk makhlukNya. Kita yang sebenarnya insan yang leka dan lalai dalam segala hal seperti firmanNya, “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian.

Dalam mengejar kehidupan dunia, kita hingga terlupa tanggung jawab terhadap diri sendiri, anak, isteri untuk Allah swt. Ketika mengejar keduniaan secara berleluasa maka cuba kita fikirkan, apakah sebenarnya yang kita kejar? Harta? Wang ringgit? Kemewahan? Pangkat? Tapi kemana pula khazanah-khazanah ini kita belanjakan? Kita tidak mampu membawa khazanah ini ke lubang kubur apabila kita mati esok. Hadis Nabi saw menyatakan, “apabila seseorang mukmin itu mati, yang dia tinggalkan adalah tiga perkara sahaja, ilmu yang munafaat yang dia ajarkan kepada mukmin lain, amal jariah yang dilakukan semasa hidup dan anak yang soleh yang mendoakan kebahagiannya di akhirat.” Lalu yang tersirat dalam hadis ini adalah pendidikan yang sempurna yang kita berikan maka barulah maksud hadis ini akan tercapai terhadap diri kita.

Oleh itu jangan kita mengabaikan tanggung jawab dalam memberikan pendidikan yang sempurna. Sekiranya kita adalah orang yang terlalu sebok tetapi kita seorang yang berharta maka gunakan harta itu sebagai perbelanjaan agar dapat memberikan didikan agama bukan hanya kepada anak-anak sendiri malah orang Islam yang lain. Kalau kita miskin maka kita carilah orang yang ikhlas serta bersedia memberikan didikan kepada anak-anak kita. Jangan beri alasan tidak ada orang yang sanggup kerana dunia ini luas dan masih ada manusia yang rela berkhidmat secara ikhlas semata-mata hanya untuk mengadap Allah swt dengan sempurna apabila dia mati kelak. Miskin atau kaya bukan faktor penghalang.

Membicarakan akhlak anak-anak sendiri, nasihat siapa yang mesti kita ambil pedoman? Cukup sedih apabila seorang bapa sanggup menyerang guru apabila diketahui anaknya didenda di sekolah. Seorang ibu sanggup menyerang jiran atau memukul anak orang lain sebaliknya mempertahankan anaknya. Kenapa kita sanggup berbuat demikian? Semuanya adalah kerana kita mengambil nasihat anak kita yang belum tentu benar sebagai pedoman. Ingatlah kasih sayang kita kepada anak-anak jangan sampai kita terpedaya dan terpengaruh dengan cakap bohong yang anak kita berikan.

Memberikan kemewahan kepada anak-anak berlebihan seperti menunaikan semua kemahuannya dan memanjakan anak-anak tanpa ada peraturan sebenarnya bukan bermakna mendidik mereka sebaliknya kita telah mengabaikan satu tanggung jawab yang lain yang lebih benar. Memewahkan anak-anak dan memanjakan mereka tidak dapat membawa makna apa-apa malainkan memperkukuhkan lagi nafsu serakah yang sering bergelora. Sikap sambil lewa dan tidak pernah menegur kesalahan anak-anak secara tidak langsung kita telah menanamkan benih-benih kesombongan dan angkuh dalam jiwa anak sendiri. Tingkah laku anak-anak yang semakin membesar dan mula mengenali kawan rakan jauh dekat dan entah dari mana datangnya rakan itu tidak pernah kita ambil peduli bermulanya kita semaikan benih-benih liar kepada anak sendiri. Anak yang sering keluar dan balik jauh malam, pernahkah kita menyiasat kemana dia pergi. Jika bertanya langsung sianak memberikan jawapannya, apakah jawapan itu sesuatu yang benar atau mereka sekadar berbohong. Jika kita telah berjaya dibohongi oleh anak-anak sendiri maka bermakna juga kita telah menanamkan benih seorang pembohong kepada mereka.

Semuanya ini adalah benih-benih kepada keruntuhan akhlak yang ianya bermula dalam keluarga tetapi akhirnya akan menjurus kepada masyarakat dan negara. Semua orang ada tanggung jawab masing-masing. Kita ada tanggung jawab terhadap majikan, kerjaya, masyarakat namun tanggung jawab terhadap membentuk moral dan akhlak anak dan keluarga sendiri tidak boleh diletakkan ke tepi begitu sahaja. Ketika memberikan pendidikan kepada anak-anak, sejauh mana kita menanamkan sifat siddiq (bercakap benar) dan amanah (jujur dipecayai) kepada mereka. Bagaimana dengan diri kita sendiri? Apakah kita seorang manusia yang bercakap benar (siddiq) dan amanah? Peribahasa Melayu mengatakan bapa borek anak rintik. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Kemana lagi kalau kuah tidak tumpah ke nasi. Semua ini telah memberikan gambaran betapa tingkah laku kita ada memainkan peranan secara langsung dalam melahirkan tingkah laku keturunan dan zuriat kita di masa depan.

Kita tidak boleh lari dari menunaikan tanggung jawab yang telah diamanahkan dalam memberi pendidikan kepada anak-anak supaya mereka mempunyai akhlak yang mulia. Bijak, cerdik atau pintar seseorang anak itu bergantung kepada keupayaan akal mereka menerima ilmu pelajaran yang diberikan tetapi mempunyai moral dan akhlak yang mulia bermula dari didikan, keimanan dan contoh teladan baik yang kita pamerkan. Terdapat di kalangan ibubapa yang terlalu kecewa jika anaknya tidak mendapat keputusan cemerlang dalam pelajarannya sebaliknya tidak merasa risau atau gundah gulana jika anaknya tidak tahu membaca Quran dan buta dalam agama. Kita cukup gembira jika anak berjaya mendapat pelajaran yang tinggi sehingga ke luar negeri tapi tidak akan risau walaupun anak yang berjaya itu buta dalam agama.

Kebebasan tidak terbatas

Pergaulan memainkan peranan yang sama ke arah membentuk kepribadian seseorang itu. Orang tua-tua pernah berkata walaupun kita baik tetapi kalau berkawan dengan pencuri akhirnya kita akan menjadi pencuri sama. Hari ini kekadang kita terperanjat jika sianu itu terlibat dalam penagihan dadah sedangkan satu waktu dulu sianu itu cukup baik orangnya. Tak sangka! Itulah keluhan kita. Kenapa? Pergaulan dan kebebasan yang tidak terbatas menjadi puncanya. Seorang anak yang kita belikan motosikal untuk tujuan yang baik sebaliknya dia menjadi jaguh lumba haram. Sebabnya ialah dia mempunyai rakan sekeliling yang merupakan ahli lumba haram.

Kebebasan tanpa batasan yang diberikan kepada generasi hari ini menjadi punca utama kemurnian akhlak mereka yang dibentuk sejak kecil terhakis sedikit demi sedikit. Walaupun berada di rumah dan tinggal bersama keluarga serta ibubapa tetapi jika anak diberi kebebasan melulu mampu menjadikan anak itu liar dan buas. Anak gadis yang tinggal bersama ibubapa yang tidak ambil peduli kemana dan apakah yang dilakukannya masih berupaya mengandung dan melahirkan anak luar nikah, apatah lagi yang tinggal jauh bebas berleluasa. Apa yang dicakapkan ini bukan omong kosong tetapi hakikat yang sering terjadi dimana-mana dinegara ini. Tidak sedikit anak gadis yang “termengandung” anak luar nikah ketika masih tinggal bersama ibubapanya.? Mengapa ini boleh terjadi? Kemana ibu dan bapanya pergi sedangkan mereka tinggal serumah. Persoalan ini mempunyai jawapan hanya kerana ibubapa tidak mengambil peduli langsung akan anak gadisnya walaupun sedetik sedangkan mereka serumah. Ibubapa tidak pernah mencurigai segala gerak geri anaknya kerana mereka memberi kebebasan sepuasnya kepada anak mereka itu. Andaian kononnya “anak mereka sudah besar” sudah tahu mana baik mana yang buruk apakah cukup untuk mempertahankan sianak dari godaan nafsu yang bergelojak. Silaplah bagi ibubapa yang berfikiran secetek itu.

Berapa kerat ibubapa yang apabila anaknya mengatakan mahu keluar menuju ke satu tempat keramaian atau pertunjukan hiburan kemudian ibubapa mengambil inisiatif menghantar sendiri anaknya ke tempat tersebut disamping mengamanahkan seorang yang dipercayai mampu menemani anaknya jika ibubapa sendiri tidak berkesempatan. Kekadang pula anak memberi protes tidak mahu ditemani kerana mengganggu privacy. Keberanian si anak memprotes kerana si anak telah didik dari awal corak kehidupan sebegitu.

Sering terjadi jika si ibubapa tidak memberi izin, maka si anak akan tetap keluar melalui pintu belakang. Kebiadapan tingkah laku begini bukan jarang berlaku. Antara kawan dan ibubapa si anak lebih mempercayai dan memilih kawan sebagai idola dan penasihatnya. Dalam kejadian lain ibu dan bapa berbalah keputusan, seorang memberi izin manakala seorang lagi membantah. Keputusan yang tidak sepakat antara ibu dan bapa memberi ruang yang lebih luas untuk anak membuat sesuka hatinya kerana mereka akan terfikir pro dan kontra itu memberi makna mereka bukan dipihak yang salah.

Ingatlah! Anak-anak remaja memang bijak berpura-pura dan berlakon. Di depan ibubapa lain tingkah lakunya manakala bersama kawan rakan lain pula perangainya. Pernah terjadi seorang anak gadis yang bekerja dan tinggal di kota Kuala Lumpur begitu bebas dan tidak terkawal tingkah lakunya sebaliknya apabila pulang ke kampung kelihatan begitu tertib, menutup aurat dan baik sedangkan hakikatnya dibandar bertentangan sekali. Akan sebab itu anak-anak mesti dipantau setiap masa pergerakkan mereka walau di mana berada. Pemantauan atau sportcheck tidak menentu masa ketikanya.

Kebebasan kepada anak-anak dan generasi muda perlu diberikan tetapi ada batas dan lunas-lunasnya. Kebebasan kepada mereka seumpama seorang gembala kambing yang membiarkan kambing bebas lepas meragut rumput tetapi dia memantau kemana kambingnya pergi. Jika kambingnya merayau jauh hingga terdedah kepada bahaya maka dihalau kembali kepada kelompok asal yang berada di kawasan selamat. Jangan memberi kebebasan kepada anak-anak ibarat seorang yang membela sekawan merpati. Makanan kadang diberi kadang tidak. Kalaupun diberi dipedulikan tidak. Ke mana merpati pergi tidak diketahui langsung. Apabila petang samada merpatinya pulang ataupun tidak dia tidak tahu. Akibatnya merpati itu kelihatan jinak hakikatnya LIAR. Dipanggil ia mari didekati ia lari.

Sikap liberal yang tiada bertempat.

“Mak bapa saya tak kisah!!!” itulah kata-kata yang kita dengar dari anak-anak muda kini. Jawaban yang begini mempunyai dua maksud yang tersirat iaitu: pertama, memang betul kehidupan anak muda itu tidak diambil pusing oleh kedua ibubapanya. Apa yang dia nak buat... buatlah... Jawaban kedua, anak itu mempunyai masalah berhubungan dengan ibubapanya. Dia tidak berterus terang dengan mereka. Setiap perkara dia membuat keputusan sendiri. Dia tidak menghormati lagi akan kedua ibubapa yang melahirkannya.

Setiap ibubapa mesti bersikap liberal dengan anak-anak tetapi liberal biarlah bertempat. Ibubapa yang bersikap liberal secara berhikmah sentiasa dihormati malah disegani oleh anaknya sendiri. Sebaliknya mereka yang berliberal membabi buta menjadikan ibubapa dari sudut pandangan anak itu sebagai orang yang tidak boleh dibawa bicara, hilang rasa hormat dan melupuskan rasa kagum kepada ibubapa.

Peringkat pergaulan kita dengan anak-anak tidak sama bagi semua antara anak kita. Peringkat umur di bawah tujuh tahun umpamanya, idola dalam hidup mereka adalah ibubapa sendiri kerana mereka tidak mengenal dunia luar lagi. Sepenuh masa bagi anak-anak ini hanya bersama ibubapa dan hanya mengenali ibubapa sahaja. Jadi pergaulan kita dan kasih sayang yang kita tunjukkan adalah kemanjaan ibubapa kepada anak-anak. Apabila mereka melakukan kesalahan maka kita tegahkan mereka secara keanakan, marah, denda. Mereka tidak berkecil hati dan tidak tersinggung bukan kerana mereka masih belum cerdik lagi tetapi kerana dalam dunia hidup mereka, kita adalah idola mereka. Dengan itu mereka tidak tersinggung kerana yang menegur mereka adalah idola mereka.

Namun apabila anak telah bersekolah dari darjah 1 hingga sekolah menengah mereka telah mulai mengenali dunia luar tetapi dalam skop yang masih sempit iaitu alam sekolah. Waktu mereka bersama kita telah berkurang sebaliknya bersama guru dan kawan-kawan lebih banyak. Ketika ini jika ibubapa terlalu sebok dengan urusan lain atau kurang bergaul dengan anaknya sendiri menjadikan dirinya yang satu waktu dulu idola anaknya akan hilang bertukar tempat. Anak akan memilih orang lain sebagai idola bagi menggantikan ibubapanya. Inilah yang selalunya terjadi. Anak akan menjadikan guru sebagai idolanya. Ibubapa akan dipinggirkan dari idola mereka. Kita dapat melihat perkara ini secara cukup jelas dimana si anak menjadi lebih selesa mendengar cakap kawan atau gurunya dari mendengar nasihat ibubapa. Bagaimana jika ibubapa mahu terus mengekalkan dirinya supaya terus menjadi idola anaknya? Apakah sukar sangat untuk mengekalkan kita sebagai idola? Jawabanya bukannya sukar sangat tetapi untuk melaksanakannya tidak sesuatu yang mudah. Masa bersama anak-anak mesti dikekalkan. Ini senangkan! Tetapi tingkah laku kita dan cara kita bergaul dengan anak-anak mesti ditukar corak dan bentuk. Kalau kita merawat mereka sama seperti kita merawat di waktu kecilnya dulu alamatnya... salah... dan kita akan menerima tentangan. Idola bertukar. Jadinya hendaklah kita bergaul dengan mereka sama sepertimana guru-guru bergaul dengan anak kita di sekolah. Kita tukarkan corak dan jadikan diri kita juga seumpama guru dengan mereka dan apabila didapati diri ibubapa oleh anak ini seperti mana hubungan anak dengan guru maka mereka menjadi semakin hormat kepada ibubapa. Tidak ada bezanya bagi mereka, bagaimana mereka bergaul dengan guru di sekolah bagitu sama mereka bergaul dengan ibubapa di rumah. Maka sudah semestinya idola hidup mereka tetap kekal kepada ibubapa. Mereka akan mengatakan “ibubapa saya yang terbaik”.

Idola anak akan terus berubah apabila meningkat remaja. Kalau di alam sekolah guru sebagai idola tetapi setelah lepas persekolahan mereka meninggalkan guru. Yang akan mereka temui dua pihak sahaja iaitu ibubapa di rumah dan kawan-kawan yang dikenal semasa sekolah atau kawan yang dikenal di tempat bekerja. Siapa lebih rapat maka itulah idola baru mereka. Kalau ibubapa gagal menyesuaikan diri dengan perubahan ini anak-anak akan menjadi lebih rapat dengan kawan untuk menjadi sebagai idola. Di waktu ini sebagai ibubapa kita mestilah sekali lagi merubah corak supaya penyesuaian kita dengan anak terus berkekalan. Kemesraan kita dengan anak tidak sesuai lagi sebagaimana kemesraan guru dengan murid. Kita perlulah berubah ke arah menjadi kawan kepada anak kita sendiri. Ringkasnya ketika inilah kita berkawan dengan anak kita sendiri. Bukan senang untuk menjadi kawan, hanya dengan kesabaran dan kajian bagi mengetahui apa kemahuan anak kita barulah dapat menyelami hati mereka sebagai kawan. Semasa memasuki alam remaja minat mereka sudah berubah, muzik/hiburan menjadi kegemaran, artis menjadi pujaan, fesyen pakaian menjadi ikutan, bahasa pertuturan beralih, sudah pandai bergaya, bersolek dan bermacam lagi kerenah remaja. Semua perubahan kepada anak-anak ini kita mesti diambil tahu. Kekadang perubahan pada diri mereka menuju kepada yang bercanggah dengan kehendak agama Islam dan kita mahu melarang. Maka ketika ini kita bertukar diri menjadi seorang kawan yang berkawan dengan anak kita sendiri. Apabila mereka mula berkawan dengan kita barulah mudah ke arah mana kita mahu membawa arah tuju mereka. Jangan sekali-kali merawat mereka yang di alam remaja mengikut cara kebudakan atau keanakan kerana mereka akan memberontak. Mulalah berkawan dengan anak sendiri.

Inilah yang kurang dipraktikan dalam masyarakat kita. Cubalah kita lihat dalam masyarakat kita yang sudah-sudah. Ibubapa merawat anak terus menerus sebagai keanakan dan kebudakan walaupun anaknya telah besar panjang. Ibubapa kita tidak pernah memberi muka kepada dan pendapat kita tidak dipedulikan. Tetapi anihnya apabila kita sudah berkahwin mahu pula mereka (ibubapa) tadi bergaul dengan kita bukan seperti keanakan lagi sebaliknya sebagai orang dewasa. Mengapa? Ertinya pandai pula ibubapa kita mengubah dirinya menyesuaikan diri kita dengannya sebagai orang yang telah dewasa.

Oleh yang demikian antara kita dan anak-anak mestilah ada penyesuaian diri. Kita mesti juga melakukan perubahan yang seiring dengan perubahan anak kita yang kian membesar. Perubahan ini tidak lain hanya semata-mata demi perhubungan erat, kasih sayang yang terjalin dengan anak-anak sejak dia dilahirkan tidak terputus di separuh jalan.

Keluarga yang tidak sempurna.

Hanya keluarga yang sempurna, kasih sayang yang terjalin, percaya mempercayai dan saling hormat menghormati antara ahli dalam keluarga dapat membentuk moral anak ke tahap yang cemerlang. Jarang perkara yang buruk berlaku terhadap keluarga yang harmoni, beriman dan penuh mesra kerana setiap masalah yang melanda telah diselasaikan dengan baik supaya tidak menjadi bisul yang boleh bertukar kepada barah.

Kebanyakan masalah moral dan keruntuhan akhlak remaja yang berlaku sering disejarahkan dengan latar belakang keluarga yang kucar kacir. Tidak menjadi pilihan samada keluarga golongan orang kaya, pertengahan atau keluarga miskin. Semuanya sama saja. Keluarga yang bermasalah berlaku di kalangan orang kaya kerana kemewahan yang dimiliki manakala di kalangan yang miskin pula hanya kerana kemiskinan yang dihadapi itu jugalah penyebab utama masalah dalam keluarga ini. Bagaimana yang di pertengahan? Pun begitu juga, kerana mahu mengejar hidup yang lebih mewah jugalah keluarga menjadi bermasalah dan kacau bilau. Oleh itu masalah dalam keluarga akan berlaku kepada sesiapa sahaja hatta anak keluarga raja sekali pun.

Masalah yang timbul dalam keluarga jangan dibiar berlarutan kerana mesti diselesaikan dengan segera. Sekiranya tidak berjaya diselesaikan sendiri maka mintalah pandangan dan nasihat dari mereka yang arif dan berwibawa. Apabila sesebuah keluarga mempunyai masalah serius bukan ibubapa yang menjadi mangsa tetapi yang pasti anak-anak yang menerima kesan yang teruk. Anak-anak akan mencari pilihan lain untuk melupakan masalah dalam keluarga ibubapanya. Bayangkanlah bukan seorang anak menjadi mangsa. Bagaimana kalau mempunyai anak yang ramai tidakkah kesemua anak-anak itu terdedah untuk mencari alternatif lain sekiranya telah bosan melihat masalah kedua ibubapanya.

Hilang pedoman hidup.

Jika inilah yang berlaku kepada sesebuah institusi keluarga “hilang pedoman hidup” yang dapat dikatakan seratus peratus hancurlah sepenuhnya akhlaq keluarga itu. Renungkanlah apa akan jadi jika dalam sebuah keluarga orang Islam telah hilang pedoman sehingga ke peringkat melakukan semua perkara seperti di bawah ini:-

  1. Tidak ada langsung amalan-amalan agama dalam keluarga itu seperti sembahyang, puasa, zakat, menutup aurat, membaca Al-Quran dan semua tuntutan agama.
  2. Ibu atau bapa hidup sebagai seorang yang ketagihan dadah, arak dan judi yang sudah tidak boleh diubati lagi.
  3. Mempunyai bapa sebagai kepala keluarga tetapi seorang yang berfoya-foya, kaki perempuan dan suka segala maksiat.
  4. Mempunyai ibu yang suka kepada lelaki lain, berfoya-foya, mendedahkan tubuh badan dan suka segala maksiat.
  5. Keluarga yang tidak pernah ambil tahu dan bebas melakukan apa saja tanpa ada sesiapa yang melarangnya.
  6. Keluarga yang matlamat hidup hanyalah keseronokan kepada harta, hiburan dan kepuasan nafsu serakah.

Apa yang boleh dibuat lagi kepada keluarga ini? Siapa yang boleh mengembalikan mereka kepada jalan yang benar? Siapa yang sanggup berhadapan dengan keluarga ini bagi tujuan menyampaikan dakwah kesedaran? Terlalu sukar rasanya bagi mendapat orang yang sanggup bersedia berhadapan dengan keluarga seperti ini. Hanya satu sahaja yang dirasakan yang dapat membenteras gejala keluarga yang hilang pedoman seperti ini iaitu penguatkuasaan undang-undang yang berteraskan kepada kehendak agama.

Apabila jiwa seseorang itu tidak dapat dikembalikan ke jalan yang benar melalui nasihat, pedoman dan bimbingan maka hanya undang-undang yang dikuatkuasakan sahaja yang mampu memulihkan mereka. Ertinya secara am dapatlah kita fahamkan bahawa dalam suasana dahsyat setahap mana pun manusia itu masih boleh diubahkan menuju jalan yang benar.

Amar ma'ruf Nahi Munkar

Amar Makruf Nahi Mungkar

Dalam kes Amar Makruf nahi mungkar, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi meletakkan beberapa syarat bagi nahi mungkar. Syarat pertama, hendaklah mungkar itu adalah perkara yang haram secara ijmak. Adapun syarat kedua, sila rujuk teks dan terjemahan dari artikel beliau di bawah ini.

Syarat Kedua: Mungkar yang Nyata.
الشرط الثاني : ظهور المنكر

أي أن يكون المنكر ظاهرًا مرئيًا، فأما ما استخفى به صاحبه عن أعين الناس وأغلق عليه بابه، فلا يجوز لأحد التجسس عليه، بوضع أجهزة التصنت عليه، أو كاميرات التصوير الخفية، أو اقتحام داره عليه لضبطه متلبسًا بالمنكر.
Maksudnya;
“Iaitu, mungkar tersebut nyata dan dapat dilihat dengan mata. Adapun mungkar yang tersembunyi dari penglihatan manusia dan terselindung di balik pintu, maka tidak harus bagi seseorang pun untuk menyelidikinya, sama ada dengan meletakkan alat pemantauan atau kamera bagi memastikan mungkar yang tertutup itu.”

وهذا ما يدل عليه لفظ الحديث: "من "رأى" منكم منكرًا فليغيره..." فقد ناط التغيير برؤية المنكر ومشاهدته، ولم ينطه بالسماع عن المنكر من غيره
Maksudnya;
“Inilah yang didalilkan daripada lafaz hadis “man ra a minkum mungkaran fal yughayyirhu” (barangsiapa melihat kemungkaran, maka hendaklah diubahkannya) ….. sesungguhnya dimaksudkan dengan mengubah mungkar itu dengan melihat mungkar itu dengan mata kepala sendiri. Ianya tidak dimaksudkan dengan mendengar mungkar itu dari orang lain.”

وهذا لأن الإسلام يدع عقوبة من استتر بفعل المنكر ولم يتبجح به، إلى اللّه تعالى يحاسبه في الآخرة، ولم يجعل لأحد عليه سبيلا في الدنيا، حتى يبدي صفحته ويكشف ستره.
Maksudnya;
“Ini kerana, islam tidak akan melaksanakan hukuman terhadap orang yang melakukan mungkar dalam keadaan tersembunyi, juga tidak membisingkan kemungkaran yang dilakukannya. Terserah kepada Allah yang akan menghisabnya di akhirat nanti. Bahkan, Allah tidak memberi peluang kepada seorang pun di dunia ini melainkan mungkar itu berlaku secara nyata.”

حتى إن العقاب الإلهي ليخفف كثيرًا على من استتر بستر اللّه، ولم يظهر المعصية كما في الحديث الصحيح: (كل أمتي معافى إلا المجاهرين.
Maksudnya;
“Hinggakan, pembalasan ilahi akan dikurangkan terhadap mereka yang menyembunyikan, serta tidak menzahirkan maksiat tersebut, seperti yang tersebut dalam hadis soheh “setiap umatku akan dimaafkan melainkan mereka yang “mujahirin”

Ulasan : Mujahirin ada dua maksud : (1) orang yang membuka maksiat yang dia sendiri lakukan (2) orang yang membuka maksiat yang orang lain lakukan

لهذا لم يكن لأحد سلطان على المنكرات الخفية، وفي مقدمتها معاصي القلوب من الرياء والنفاق والكبر والحسد والشح والغرور ونحوها..وإن اعتبرها الدين من أكبر الكبائر، ما لم تتجسد في عمل ظاهر، وذلك لأننا أمرنا أن نحكم بالظواهر، ونكل إلى اللّه تعالى السرائر
Maksudnya;
“dengan sebab itulah, seorang pun tidak ada kuasa terhadap mungkar yang tersembunyi. Bermula dari maksiat hati, daripada riya’, nifaq, takabbur, dengki, kedekut dan seumpamanya.. walaupun semua ini dikira dalam agama sebagai dosa-dosa besar, selama ianya tidak terzahir dari amalan nyata. Ini kerana, kita disuruh berhukum dengan perkara zahir sahaja, dan kita serahkan kepada Allah segala perkara rahsia-rahsia.”

ومن الوقائع الطريفة التي لها دلالتها في هذا المقام ما وقع لأمير المؤمنين عمر بن الخطاب رضي اللّه عنه، وهو ما حكاه الغزالي في كتاب "الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر" من "الإحياء": أن عمر تسلق دار رجل، فرآه على حالة مكروهة فأنكر عليه، فقال: يا أمير المؤمنين، إن كنت أنا قد عصيت اللّه من وجه واحد، فأنت قد عصيته من ثلاثة أوجه، فقال: وما هي؟ قال: قد قال اللّه تعالى: (ولا تجسسوا) (الحجرات: 12)، وقد تجسست، وقال تعالى : (وأتوا البيوت من أبوابها) (البقرة: 189)، وقد تسـورت من السطح، وقال تعالى : (لا تدخلوا بيوتًا غير بيوتكم حتى تستأنسوا وتسلموا على أهلها) (النور: 27) وما سلمت،.فتركه عمر، وشرط عليه التوبة
.الإحياء 7 / 1218 ط.الشعب، القاهرة.
Maksudnya,
“Realiti sebenar dari kejadian ini adalah dengan apa yang berlaku kepada Amir Mukminin, Omar bin Al-Khattab yang kisahnya disebut oleh Imam Al-Ghazali dalam perbincangan “Al-Amr bi Al-Ma’ruf wa An-Nahy ‘An Al-Mungkar” dalam kitab “ihya’ ulum Ad-Din”: Sesungguhnya Omar telah memanjat rumah seorang lelaki, lalu dilihatnya dalam keadaan yang tidak disenangi, lalu diingkarinya. Lalu berkata (lelaki): wahai Amir Al-mukminin, sekiranya aku melakukan maksiat kepada Allah, aku hanya melakukan satu dosa sahaja. Adapun kamu, telah melakukan maksiat dari TIGA dosa. berkata (Omar); apa dia? Berkata (lelaki): (1) Firman Allah : “jangan kamu selidik menyelidik” (al-hujurat:12) sedangkan kamu selidik menyelidiki. (2) Firman Allah: “masuklah rumah dari pintunya” (al-baqarah:189) sedangkan kamu masuk melalui bumbung (3) Firman Allah : “jangan kamu masuk rumah bukan rumah kamu hinggalah kamu minta izin dan memberi salam kepada ahlinya” (an-nur:27) sedangkan kamu tidak memberi salam. Mendengar itu, Omar pun melepaskan lelaki itu dan mensyaratkan kepadanya agar bertaubat”

WaLlahu 'Alam
Sumber: Qaradawi.net

Sampai bila kita harus merungut

Kita tahu hidup ini bukan untuk kerehatan tapi bekerja dan terus bekerja.

Ini sudah menjadi lumrah kehidupan. Dan kita juga tahu keseluruhan kehidupan kita adalah ujian dan batas ujian itu adalah sewaktu kita hidup kerana bila nyawa telah tiada ujian pastinya akan berhenti dan disitulah nanti kita menerima segala pembalasan diatas bagaimana kita menghadapi dan redha terhadap ujian yang ditimpakan!

Allah tidak membiarkan saja kita menghadapi ujian itu keseorangan setelah dibentangkannya batas umur kita dari kelahiran hingga kewafatan kita, malah dia memberi kita isyarat dan syarat kejayaan bagi setiap kita, iman amal dan dakwah yang kita lakukan.

Disinilah kita kena merumuskan kehendak kehendak Allah itu kedalam mangkuk iman kita dan melalui iman itulah kita bergerak dengan redha dan ikhlas bukan untuk merungut dan terus merungut dengan kelelahan dan keletihan!

Kita berdakwah dan menjadi pendakwah bukan kehendak kita tapi kehendak Allah diatas keyakinan diatas iman itu sendiri. Kita boleh saja menolak jawatan yang melelahkan ini, jawatan yang menyakitkan hati dan menyakitkan jiwa ini jika kita mahu! Namun diatas kesadaran dan iman itulah menyebabkan kita diikat dgn satu ikatan yang kita harus redha kerana ianya sebahagian dari kehidupan kita.

Saturday, October 10, 2009

Majlis Forum Agama anjuran bersama J/kuasa Masjid Nurussyakirin degan kerjasama Kemas daerah Sandakan dan USIA Bahagian Sandakan Pada 04/08/2009

Jemaah masjid dari luar dan dalam kariah taman indah jaya, batu 4 mengikuti majlis tersebut.

Tahlil perdana dan cermah agama


Tahlil dan ceramah perdana di Masjid Nurussyakirin Taman Indah jaya, Batu 4, Sandakan pada 10/04/2009

Mari berjuang demi untuk islam di Sabah

Asslamualaikum warohmatullahi wabarakatuh......

"Wahai Belia-belia islam di seluruh Sabah khususnya di daerah Sandakan, saya menyeru kepada anda semua.....Ayuh,.. marilah kita bangkit dari lena...., ayuh,... marilah kita sedar dari angan-angan, mari kita berganding bahu dan satukan hati-hati kita tidak kira apa jua perbezaan ideologi Politik, organisasi dan persatuan, mari kita bersama-sama membangunkan dan tegakkan islam di Negeri kita yang tercinta ini. Mari kita berjuang bersama demi untuk islam....mari kita bantu agama Allah,....mari kita tegakkan kalimah lailaha illallah.".....Takbir...!!!! Allahu Akbar!!!